SPM - KERTAS 1 BM BAHAGIAN A (contoh karangan)

Cara mewujudkan situasi kejiranan yang harmoni.


~karangan jenis pendapat~


                Jiran merupakan orang yang menetap di kawasan rumah kita, Oleh sebab itu,dalam kehidupan seharian,kita seharusnya berbaik-baik sesama jiran. Malangnya,masyarakat pada zaman kini sering mengalpakan sikap yang baik seperti ini. Hal ini sering dikaitkan dengan masyarakat yang tinggal di bandar. Mereka acap kali memberi alasan kesibukan kerja sehingga menyebabkan mereka keletihan dan tidak mempunyai banyak masa yang terluang untuk bertegur sapa dengan jiran. Hari yang sibuk bermula pada hari Isnin hingga Jumaat merupakan hari bekerja kecuali Sabtu dan Ahad. Jadi,hari cuti itu digunakan sebaiknya untuk berehat sahaja di rumah. Maka dengan itu,terdapat pelbagai cara bagi mewujudkan suasana kejiranan yang harmoni.

               Antara cara yang boleh dipraktikkan untuk mewujudkan situasi kejiranan yang harmoni ialah berkongsi kereta. Apabila jiran-jiran melakukan cara ini,maka sedikit sebanyak dapat mengeratkan hubungan di antara satu sama lain. Contoh yang boleh dikupaskan di sini adalah menghantar anak ke sekolah. Ibu bapa tidak perlulah membazir wang ringgit dengan nilai yang tinggi dengan mengupah pemandu van untuk menghantar anak di samping dapat menjimatkan penggunaan minyak petrol. Melalui cara ini juga,anak-anak dapat berbual dan berkenalan mesra dengan anak-anak jiran yang lain. Hal ini akan memupuk sikap bertegur sapa di kalangan anak-anak. Bak kata pepatah,'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Mereka bolehlah bertolak ansur bagi menghantar anak-anak mereka. Tambahan pula,cara ini dapat mengurangkan pencemaran udara yang kian membimbangkan pada era globalisasi ini. Sesungguhnya,udara yang bersih merupakan udara yang dihirup oleh kita semua.

               Seterusnya,kita juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan dalam diri kita dan meluaskan pengalaman hidup jika hidup berjiran. Cara ini dapat diketengahkan dalam aspek berkongsi pendapat. Jika kita dapat bertukar-tukar pendapat ataupun ilmu bersama jiran, maka bertambahlah pengetahuan dalam diri masing-masing. Sebagai analoginya,kita dapat mengetahui bahawa agama Hindu tidak dibenarkan memakan lembu kerana menganggap haiwan tersebut merupakan Tuhan mereka. Selain itu,agama Buddha menganggap warna merah sebagai 'ong ' atau tuah dalam kepercayaan mereka. Tidak lupa juga dalam agama Islam. Orang akan akan berpuasa selama sebulan sebelum meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Jika cara ini gagal dilaksanakan,kefahaman budaya dan adat resam pelbagai kaum lain tidak dapat diketahui oleh kita sendiri. Dengan cara ini juga,perpaduan dan persefahaman sesama kaum akan terbentuk.

               Di samping itu,perayaan juga boleh menjadi faktor dalam mengharmonikan suasana kejiranan. Kita boleh merapatkan silaturahim antara jiran yang jarang berada di rumah. Perayaan seperti Tahun Baru Cina,Hari Raya Aidilfitri dan Hari Deepavali bolehlah disambut bersama-sama walau berbeza agama dan budaya. Tamsilnya,jiran tetangga bolehlah mengadakan rumah terbuka semasa tibanya musim perayaan dengan menjemput semua jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah mereka. Tidak kiralah apa sahaja bangsa atau kaum,tidak ada salahnya untuk mengisi rumah terbuka tersebut dengan pelbagai jenis kaum. Malah,kita dapat mengetahui adat resam dalam suatu perayaan itu. Ilmu yang terdapat dalam diri dapat dikongsi bersama-sama. Jiran juga bolehlah meringankan mulut mereka dengan bertanya apa-apa sahaja persoalan yang tidak diketahui oleh mereka supaya tidak menjadi contoh kepada peribahasa, 'malu bertanya,sesat jalan'.

               Akhir sekali,aktiviti minum petang juga digalakkan untuk dijadikan sebagai amalan yang baik setiap jiran dalam cara berkongsi juadah. Apabila kita berkongsi juadah dengan dengan jiran, maka mereka dapat merasai kepelbagaian jenis hidangan, baik yang belum pernah dirasa mahupun yang sudah. Kita bolehlah memasak lebih sedikit untuk berkongsi dengan jiran tetangga. Mungkin kita akan dibalas lagi jenis hidangan oleh jiran kita. Jiran akan berasa diingati dan kita akan dihargai serta dipandang mulia oleh jiran-jiran setempat. amalan ini amatlah disukai oleh masyarakat dan patut diamalkan.

               Harapan saya agar segala amalan ini dapat dilaksanakan dengan baik. Kita sebagai masyarakat sewajarnya melakukan amalan ini supaya generasi akan datang dapat mengikut jejak langkah ini. Sekiranya amalan mewujudkan suasana kejiranan yang harmoni ini tidak dapat dipraktikkan, maka gagallah negara kita yang mahu berdiri sama tinggi,duduk sama rendah dengan negara-negara lain yang rata-rata masyarakat mereka bersepakat dalam mewujudkan suasana kejiranan yang harmoni,aman dan tenteram.

Comments

Popular posts from this blog

PT3 - BM Bahagian C (contoh karangan)